3D Bahasa Arab Augmented Reality (3D Baar) Membantu Meningkatkan Penguasaan Bahasa Arab Pelajar (3D Arabic Language Augmented Reality (3D Baar) in Assisting Student’s Acquisition of Arabic Language)
Abstract
Di peringkat sekolah rendah, subjek Bahasa Arab diajar melalui program j-QAF Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Arab, wujud permasalahan di kalangan murid berkenaan penguasaan kemahiran membaca dan bertutur tentang asas-asas mengenal huruf dan baris. Permasalah ini juga timbul rentetan kekurangan bahan PdPc yang sesuai dalam mempelajari kemahiran tersebut. Pengajaran dan pembelajaran berasaskan aplikasi mudah alih Augmented Reality (AR) merupakan suatu kaedah pembelajaran terkini yang boleh dipraktikkan. Justeru itu, pengkaji melaksanakan kajian ini bagi membangunkan produk pembelajaran 3D BAAR berasaskan teknologi mudah alih AR dengan berpandukan teori pembelajaran konstruktivisme. Pengkaji menguji kesan penggunaan aplikasi AR dalam kemahiran membaca dan berutur bahasa arab di kalangan murid Tahun 4 di sebuah sekolah di daerah Johor Bahru. Data ujian pra dan ujian pasca dianalisi bagi mendapatkan nilai min dan sisihan piawai antara kedua-dua ujian tersebut. Pengkaji juga melaksanakan ujian T sampel berpasangan untuk mendapatkan nilai signifikan antara kedua-dua ujian. Hasil kajian telah mendapati keputusan ujian pra dan ujian pasca memperolehi nilai min ujian pra 73.20 dan ujian pasca sebanyak 96.00 menunjukkan perbezaan min sebanyak 22.8 antara kedua-dua ujian tersebut membuktikan aplikasi AR yang dibangunkan memberi kesan yang positif dalam peningkatan kemahiran membaca dan bertutur bahasa Arab. Hasil analisis ujian T sampel berpasangan pula telah mendapati nilai t = -12.910 iaitu p < 0.05 menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian ujian pra dan ujian pasca terhadap penggunaan produk 3D BAAR. Pengkaji juga melaksanakan soal selidik bagi melihat kepuasan murid tentang produk yang dibangunkan. Manakala nilai peratus soal selidik murid diperolehi sebanyak 85% bersetuju dengan 3D BAAR yang dibangunkan menunjukkan majoriti murid
berpuas hati dengan aplikasi tersebut. Kesimpulannnya, produk 3D BAAR yang dibangunkan mampu mengatasi masalah membaca dan bertutur bahasa Arab di kalangan murid tahun 4 serta mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan.