Persepsi Pelajar terhadap Penggunaan Minecraft Education dan Hubungannya dengan Minat dan Pemahaman Pembelajaran Bahasa Melayu
DOI:
https://doi.org/10.11113/itlj.v10.318Keywords:
Minecraft Education, Gamifikasi, Pembelajaran berasaskan permainan, Pendidikan Bahasa Melayu, Pembelajaran digitalAbstract
Perkembangan pembelajaran digital telah mendorong penggunaan platform berasaskan permainan sebagai pendekatan alternatif untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran bahasa yang lebih interaktif, kolaboratif dan berpusatkan pelajar. Kajian ini bertujuan meneliti persepsi pelajar terhadap penggunaan Minecraft Education dalam pembelajaran Bahasa Melayu serta hubungannya dengan minat dan pemahaman dalam pembelajaran. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan yang melibatkan 69 orang pelajar Semester 6 Program Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Data dikumpulkan menggunakan soal selidik berskala Likert lima mata yang merangkumi tiga konstruk, iaitu persepsi terhadap penggunaan Minecraft Education, minat pembelajaran dan persepsi terhadap pemahaman pembelajaran. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif, korelasi Pearson dan regresi linear mudah. Dapatan menunjukkan bahawa persepsi pelajar terhadap penggunaan Minecraft Education berada pada tahap yang tinggi (M = 4.81, SP = 0.56). Analisis korelasi menunjukkan hubungan positif yang sangat kuat dan signifikan antara persepsi terhadap penggunaan Minecraft Education dengan minat dalam pembelajaran Bahasa Melayu (r = .992, p < .001) serta persepsi terhadap pemahaman dalam pembelajaran Bahasa Melayu (r = .985, p < .001). Analisis regresi menunjukkan bahawa persepsi terhadap penggunaan Minecraft Education merupakan peramal yang signifikan secara statistik terhadap minat (R² = .985, p < .001) dan persepsi terhadap pemahaman dalam pembelajaran Bahasa Melayu (R² = .971, p < .001). Dapatan ini menunjukkan bahawa persepsi positif terhadap Minecraft Education berkait rapat dengan minat dan pemahaman yang dirasakan oleh pelajar. Kajian ini memberikan bukti awal tentang potensi Minecraft Education sebagai platform pembelajaran berasaskan permainan dalam konteks pendidikan Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, hubungan yang sangat tinggi ini perlu ditafsir secara berhati-hati kerana kajian bergantung pada ukuran persepsi kendiri dan tidak mengukur peningkatan pencapaian pembelajaran secara objektif.















